Showing posts with label perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label perkahwinan. Show all posts

Bantuan Perkahwinan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

Membantu meringankan beban asnaf untuk melangsungkan perkahwinan
Syarat Umum
  • Beragama Islam
  • Warganegara Malaysia
  • Bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang dari (1) satu tahun dan masih menetap di Wilayah Persekutuan
  • Tertakluk kepada pengiraan Had al-Kifayah (Kira kelayakan Had al-Kifayah)
Dokumen Yang Diperlukan
  1. Borang permohonan (Borang Permohonan)
  2. Satu keping gambar pemohon berwarna berukuran passport (menutup aurat bagi perempuan)
  3. Satu salinan kad pengenalan:
    • Pemohon
    • Suami
    • Isteri
    • Anak-anak (tidak termasuk yang telah berkahwin / bekerja). Bagi anak angkat perlu disertakan bersama dengan surat pengangkatan Jabatan Pendaftaran Negara atau sertakan bersama akuan sumpah penjagaan. [ Contoh Surat Akuan Sumpah Penjagaan ]
  4. Satu salinan penyata gaji / pencen / PERKESO . Bagi yang tiada slip gaji, perlu mengemukakan surat akuan sumpah pendapatan terkini suami dan isteri yang dikeluarkan oleh Pesuruhajaya Sumpah. [ Contoh Surat Akuan Sumpah Pendapatan ]
    • *Bagi di Labuan, pemohon yang tiada slip gaji perlu mendapatkan surat pengesahan pendapatan suami dan isteri yang disahkan oleh ketua kampung
  5. Satu salinan nombor akaun bank / surat pengesahan akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menunjukkan maklumat pemohon dan transaksi terakhir / terkini
  6. Satu salinan bil utiliti/ cukai pintu rumah yang didiami
  7. Satu salinan sijil kursus pra-perkahwinan pemohon dan pasangan.
  8. Satu salinan borang permohonan kebenaran perkahwinan pemohon dan pasangan yang telah diluluskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri/ salinan sijil nikah sementara.
Lain-Lain Dokumen Sekiranya Berkaitan Dengan Permohonan
Keluarga bercerai. :Satu salinan surat perakuan cerai / prosiding mahkamah terkini / pengesahan masalah keluarga dari Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) terkini.
Ahli keluarga telah meninggal dunia.:Satu salinan sijil kematian ibu / bapa / suami / isteri.
Saudara baru.:Satu salinan kad memeluk Islam.
Orang Kelainan Upaya.:Salinan kad orang kelainan upaya (OKU).
Pengidap sakit kronik.:Surat pengesahan sakit kronik dari hospital kerajaan sahaja.
Sedang mengikuti pengajian di IPT.:Satu salinan pengesahan pengajian / kad pelajar / surat tawaran belajar.
Keluarga bermasalah.:Satu salinan laporan polis/ surat penjara.
Muflis.:Satu salinan surat pengesahan bankrupsi dari Syarikat Insolvensi.
Ke mana Perlu Dihantar Permohonan?
Borang permohonan yang telah siap diisi dan disertakan dengan dokumen yang diperlukan, boleh dihantar dengan hadir sendiri ke kaunter –kaunter Baitulmal MAIWP (senarai kaunter)

Membuat Persediaan Perkahwinan

Maklumat berkaitan pemeriksaan kesihatan sebelum kahwin dan kursus perkahwinan bagi orang Islam.

A. Pemeriksaan Kesihatan

Maklumat berkaitan pemeriksaan ujian saringan HIV.

 

B. Kursus PraPerkahwinan

Maklumat berkaitan permohonan kursus perkahwinan & prosedur, senarai agensi yang menawarkan perkhidmatan, syarat-syarat menghadiri kursus dan permohonan salinan sijil kursus yang hilang / rosak.

10 Ayat Dalam Al-Quran Menyatakan Tentang Perkahwinan

Terdapat 10 ayat dalam Al-Quran menyatakan tentang perkahwinan. Allah سبحانه وتعالى yang Maha Khaliq menciptakan setiap makhluk di dunia ini supaya berpasang-pasangan dan berkembang biak.

1. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nisaa’ 4; Ayat 1 :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا﴿١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahmi. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”

2. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nisaa’ 4; Ayat 3 :

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟﴿٣﴾

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

3. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nahl 16; Ayat 72 :

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةًۭ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ ۚ أَفَبِٱلْبَٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ ٱللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ ﴿٧٢﴾

“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur (mengingkari) pula akan nikmat Allah?”

4. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah An-Nuur 24; Ayat 32 :

وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ ﴿٣٢﴾

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya — pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

5. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Ar-Rum 30; Ayat 21 :

وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

6. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Luqman 31; Ayat 10 :

خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيْرِ عَمَدٍۢ تَرَوْنَهَا ۖ وَأَلْقَىٰ فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍۢ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍۢ كَرِيمٍ ﴿١٠﴾

“Dia menciptakan langit tanpa tiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (di permukaan) supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia memperkembang biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.”

7. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Yaasin 36; Ayat 36 :

سُبْحَٰنَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْأَزْوَٰجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ﴿٣٦﴾

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.”

8. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Adz-Dzariyaat 51; Ayat 49 :

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ﴿٤٩﴾

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”

9. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Asy-Syu’araa 42; Ayat 7 :

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ قُرْءَانًا عَرَبِيًّۭا لِّتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنذِرَ يَوْمَ ٱلْجَمْعِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۚ فَرِيقٌۭ فِى ٱلْجَنَّةِ وَفَرِيقٌۭ فِى ٱلسَّعِيرِ ﴿٧﴾

“Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” (penduduk Mekah) dan penduduk (di dunia) sekelilingnya serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) segolongan masuk Syurga dan segolongan lagi masuk neraka.”

10. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Qaf 50; Ayat 7 :

وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍۢ ﴿٧﴾

“Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur dipandang mata.”

Teristimewa penciptaan manusia adalah suatu ujian, sejauh mana keimanan dan ketaqwaan seseorang itu terhadap Allah سبحانه وتعالى. Jika lulus mengikut garis panduan Al-Quran dan sunnah, maka akan dijanjikan kebahagiaan dan kenikmatan yang lebih besar iaitu syurga yang kekal abadi.

والله أعلم بالصواب

Rukun-Rukun Dan Syarat Sah Nikah

Rukun Nikah

1. Pengantin lelaki (Calon Suami)

2. Pengantin perempuan (Calon Isteri)

3. Adanya Wali

4. Dua orang saksi lelaki

5. Ijab dan Qabul (akad nikah)
Syarat-Syarat Sah Nikah

a) Syarat-Syarat Bakal Suami

1. Islam

2. Lelaki yang tertentu

3. Bukan mahram dengan bakal isteri

4. Bukan dalam ihram haji atau umrah

5. Dengan kerelaan sendiri (tidak sah jika dipaksa)

6. Mengetahui wali yang sah bagi akad nikah tersebut

7. Mengetahui bahawa perempuan itu boleh dan sah dinikahi

8. Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa.

b) Syarat-Syarat Bakal Isteri

1. Islam

2. Bukan seorang khunsa

3. Perempuan yang tertentu

4. Tidak dalam keadaan idah

5. Bukan dalam ihram haji atau umrah

6. Dengan rela hati (bukan dipaksa kecuali anak gadis))

7. Bukan perempuan mahram dengan bakal suami

8. Bukan isteri orang atau masih ada suami
Syarat Wali

1. Adil

2. Islam

3. Baligh

4. Lelaki

5. Merdeka

6. Tidak fasik, kafir atau murtad

7. Bukan dalam ihram haji atau umrah

8. Waras — tidak cacat akal fikiran atau gila

9. Dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan

10. Tidak muflis atau ditahan kuasa atas hartanya.

* Sebaiknya bakal isteri perlulah memastikan syarat WAJIB menjadi wali. Sekiranya syarat wali bercanggah seperti di atas maka tidak sahlah sebuah pernikahan itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati, kita hendaklah menitik beratkan hal-hal yang wajib seperti ini. Jika tidak di ambil kira, kita akan hidup di lembah zina selamanya.
Jenis-Jenis Wali

1. Wali mujbir: Wali dari bapa sendiri atau datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa) mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak (sebaiknya perlu mendapatkan kerelaan bakal isteri yang hendak dikahwinkan)

2. Wali aqrab: Wali terdekat mengikut susunan yang layak dan berhak menjadi wali

3. Wali ab’ad: Wali yang jauh sedikit mengikut susunan yang layak menjadi wali, jika ketiadaan wali aqrab berkenaan. Wali ab’ad ini akan berpindah kepada wali ab’ad lain seterusnya mengikut susunan tersebut jika tiada yang terdekat lagi.

4. Wali raja/hakim: Wali yang diberi kuasa atau ditauliahkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa negeri kepada orang yang telah dilantik menjalankan tugas ini dengan sebab-sebab tertentu
Syarat-Syarat Saksi

1. Islam

2. Lelaki

3. Baligh

4. Berakal

5. Merdeka

6. Sekurang-kurangya dua orang

7. Memahami kandungan lafaz ijab dan qabul

8. Dapat mendengar, melihat dan bercakap (tidak buta, bisu atau pekak)

9. Adil (Tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil)

10. Bukan tertentu yang menjadi wali.

(Misalnya, bapa saudara lelaki yang tunggal. Katalah hanya ada seorang bapa saudara yang sepatutnya menjadi wali dalam perkahwinan itu tetapi dia mewakilkan kepada orang lain untuk menjadi wali sedangkan dia hanya menjadi saksi, maka perkahwinan itu tidak sah kerana dia dikira orang tertentu yang sepatutnya menjadi wali.)
Syarat-Syarat Ijab Dan Qabul

Syarat Ijab

1. Pernikahan hendaklah dengan perkataan nikah atau dengan perkataan yang sama maksudnya secara terang dan tepat.

2. Tidak diikatkan dengan tempoh waktu tertentu (seperti ikatan perkahwinan yang dijanjikan dan dipersetujui dalam tempoh tertentu dalam nikah kontrak/mutaah)

3. Tidak secara taklik. Tiada sebutan prasyarat sewaktu ijab (lafaz akad) dilafazkan

4. Tidak boleh menggunakan perkataan kiasan dan sindiran.

5. Dilafazkan oleh wali atau wakilnya

* Contoh lafaz ijab:

“Daku nikahkan dikau dengan ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak RM …… tunai.”
Syarat Qabul

.

1. Lafaz Qabul (terima) hendaklah sesuai dengan lafaz ijab

2. Hendaklah terang dan nyata, bukan kiasan.

3. Dilafazkan oleh bakal suami atau wakilnya (atas sebab-sebab tertentu)

4. Tidak diikatkan atau mengandungi perkataan yang terbatas tempoh waktunya

5. Tidak secara taklik (tiada sebutan prasyarat sewaktu qabul dilafazkan)

6. Menyebut nama bakal isteri

7. Tidak diselangi dengan perkataan lain.

* Contoh lafaz qabul (akan dilafazkan oleh bakal suami) :

i) “Daku terima nikahnya ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak RM …… tunai.”

ATAU

ii) “Daku terima nikahnya ….. binti …. (sebutkan nama pengantin perempuan) sebagai isteriku.”

والله أعلم بالصواب

Perkahwinan Menurut Islam

Perkahwinan atau pernikahan dalam Islam adalah suatu perkara yang sangat dituntut. ‘Nikah’ menurut bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ‘Ijab dan Qabul’ (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Perkataan zawaj digunakan di dalam Al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah سبحانه وتعالىmenjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perbuatan zina.

Allah سبحانه وتعالىberfirman:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴿٤٩﴾

“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” (Surah Adz-Dzariyaat 51; Ayat 49)

Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia, yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk Allah سبحانه وتعالى. Setiap manusia yang sudah dewasa dan sehat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi yang boleh dicintai dan mencintai, yang dapat mengasihi dan dikasihi, yang boleh diajak bekerja sama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga.

Rasulullah ﷺ bersabda:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء. (رواه البخارى و مسلم)

“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

A) 10 Dalil Al-Quran Tentang Perkahwinan

Terdapat 10 ayat dalam Al-Quran menyatakan tentang pensyariatan perkahwinan :

    Surah An-Nisaa’ 4: ayat 1
    Surah An-Nisaa’ 4: ayat 3
    Surah An-Nahl 16: ayat 72
    Surah An-Nuur 24: ayat 32
    Surah Ar-Rum 30: ayat 21
    Surah Luqman 31: ayat 10
    Surah Yaasin 36: ayat 36
    Surah Asy-Syu’araa 42: ayat 7
    Surah Qaf 50: ayat 7
    Surah Adz-Dzariyaat 51: ayat 49.

B) 5 Jenis Hukum Nikah

Sebahagian para ulama membahagikan hukum nikah kepada 5 hukum berikut:-

1) Harus bagi orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

2) Wajib bagi orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan (perzinaan dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang berkemampuan untukberkahwin.

3) Sunat bagi orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunyadari godaan.

4) Makruh bagi orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan zahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat atau orang yang mempunyai keinginan atau hasrat bernikah tetapi ia belum mempunyai bekalan untuk memberi nafkah dan menanggung isterinya.

5) Haram bagi orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah zahir dan batin serta ia sendiri tidak berkuasa (lemah) dan tiada keinginan berkahwin. Atau dia mempunyai niat yang buruk, seperti berniat menyakiti dan menganiaya perempuan yang bakal dikahwininya.

C) Hukum-Hakam Perkahwinan Dalam Islam

Perkahwinan adalah suatu yang disarankan kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh memungkinkannya terjerumus ke lembah maksiat (rogol, zina, liwat dan sebagainya) sedangkan dia seorang yang telah berkemampuan iaitu dia berkemampuan membayar mahar (mas perkahwinan) dan mampu memberi nafkah kepada bakal isterinya.

Dalam permasalahan pemilihan di antara 2 ibadah wajib, boleh didahulukan perkahwinan daripada menunaikan ibadah haji kerana khuwatir akan berlaku penzinaan, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

D) Tujuan Nikah

Secara umum tujuan perkahwinan dalam Islam adalah seperti berikut :

1. Melaksanakan perintah Allah سبحانه وتعالى.

2. Mengikuti sunah Rasulullah ﷺ .

3. Membina rasa cinta dan kasih sayang.

4. Bagi memperoleh keturunan yang sah.

5. Bagi memperolehi kebahagiaan dan ketenangan hidup yang sakinah.

6. Bagi memenuhi keperluan seksual yang sah dan diredhai Allah سبحانه وتعالى.

E) Hikmah Pernikahan

1. Menjaga keturunan

2. Memelihara kesucian diri

3. Melaksanakan tuntutan syariat

4. Dapat mengeratkan silaturahim

5. Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab

6. Suatu cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks

7. Perzinaan, pelacuran, liwat dan maksiat dapat dielakkan.

8. Untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman

Ajaran dan pendidikan Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat dalam membina keluarga dan membesarkan anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan2 negetif dan perkara2 yang tidak bermoral. Oleh itu, perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam, dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman mewujudkan keluarga sakinah, mawadah dan warahmah.

Allah سبحانه وتعالىberfirman :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا﴿١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya — Hawa); Dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan (zuriat keturunan) yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisaa’ 4; Ayat 1)

والله أعلم بالصواب